Sunday 17 July 2011

Tempayan yang Retak

Bismillah.

Pada zaman dahulu, tinggal seorang yang menyara hidupnya dengan berkhidmat kepada sebuah keluarga bangsawan.

Dia melakukan segala kerja di rumah, daripada membersihkan halaman, memandu kereta kuda, menjaga keselamatan keluarga tersebut, termasuklah juga mengangkat air dari sungai berdekatan. Isterinya pula mengemas rumah dan kerja-kerja dapur.

Setiap hari, lelaki tersebut akan berulak-alik ke sungai mengambil air bagi mengisi kolah di dalam rumah dengan mengandar dua buah tempayan.

Malangnya salah daripada tempayan itu sudah retak. Kesannya, air yang diangkut akan berkurang kepada hampir separuh tempayan. Oleh yang demikian lelaki itu hanya mampu mengangkut air sebanyak satu setengah tempayan sahaja.

Demikianlah berterusan selama setahun lebih.

Suatu hari, tempayan yang retak itu berasa sangat sedih. Diadukan rasa hatinya itu kepada lelaki itu.

“Maafkan saya kerana selama setahun lebih ini, saya tidak mampu menjalankan peranan dengan baik. Saya rasa sedih sangat” Kata tempayan dengan penuh kesal.

“Kenapa kamu cakap macam itu? Kenapa kamu sedih ? ” Tanya lelaki itu.

“Aku sedih sebab aku hanya mampu mengangkut separuh sahaja air disebabkan fizikal aku yang tidak sempurna ini.”

“Kamu jangan sedih wahai tempayan. Dalam perjalanan balik nanti, cuba kamu perhatikan disebelah kanan jalan.”

Lelaki itu mengangkut air seperti biasa dari sungai menuju rumah tuannya.

Namun tempayan itu tetap sedih atas kekurangan dirinya dan ketidakmampuannya memberikan khidmat terbaik kepada tuannya.

“Kamu lihat di sebelah kanan jalan, bunga-bunga segar dan indah mekar di sepanjang jalan? ” soal lelaki tersebut.

“Ya, aku nampak. Tapi keindahan bunga-bunga itu tidak mampu mengurangkan rasa sedih di hatiku”, jawab tempayan.

“Kamu tahu wahai tempayan. Sejak aku tahu kamu telah retak sedikit, aku mula menanam pokok-pokok bunga ini. Kamu tahu siapa yang menyiramnya setiap hari?”

“Tentulah kamu.”

“Tidak, kamulah yang menyiramnya. Air yang meleleh keluar itulah yang menyiram bunga-bunga itu selama ini. Kemudian aku akan petik bunga-bunga ini dan berikan kepada isteriku untuk dihias di rumah tuan kita. Walaupun kamu sebuah tempayan yang retak, tetapi kamu tetap ada sumbangan.”

Barulah tempayan yang retak itu berasa ceria kembali dan tidak gundah lagi walaupun ianya hanya sebuah tempayan yang retak.

Tempayan retak itu analogi diri kita. HambaNya yang lemah.

Setiap manusia tidak sempurna dan ada kelemahan masing-masing. Namun Allah tidak menciptakan kekurangan atau kecacatan itu dengan sia-sia. Pasti ada kelebihan dari sudut yang lain dan pasti masih mampu memberi manfaat kepada ummah dengan caranya tersendiri.

Dan kita semua saling melengkapi antara satu sama lain.. InsyaAllah. =)

Wallahua’lam.