Sunday, 10 April 2011

PELITA HIDUP

Hidup ini bagai lampu dinding 
Yang dinyalakan dimalam hari 
Apabila minyak sudah kering 
Ia kan pasti padam sendiri 

Demikian juga hidup manusia 
Selama hidup di dunia ini 
Bila dah cukup umur usia 
Putuslah hubungan di sana sini 

Setelah kita tinggalkan dunia 
Alam yang lain pula menanti 
Apakah kita dapat kurnia 
Itu melihat amal dan bakti 

Di sana insan cemas dan bimbang 
Tak dapat lagi buat alasan 
Buruk dan baik akan ditimbang 
Kedua-duanya dapat balasan


2012-KONSPIRASI GALAKTIK




Selepas buku Membongkar Misteri Dajjal, penulis bestseller iaitu Tuan Muhammad Nurani Maarif berjaya mengeluarkan buku kedua beliau iaitu “Fitnah 2012: Konspirasi Galaktik” yang mempunyai kelainannya yang tersendiri.

KEANEHAN DALAM BUKU BELIAU

Berita Arab Saudi mengarahkan Amerika menyerang Iran terdapat dalam buku ini. Ketika beliau menulis setahun yang lalu semuanya kelihatan berbalam-balam tapi kini ketegangan itu makin memuncak. Berbetulan dengan keluarnya buku ini senario yang dulu tertulis sebagai hipothesis kelihatan semacam nyata. Sebetulnya kalam asalnya bukan dari beliau, tapi ada matan nubuwah mengenai insiden itu cuma hurainya dari beliau bagaimana krisis Arab-Iran ini terjadi.

KELAINAN DALAM BUKU BELIAU

Setakat ini belum ada yang membongkar siapa pencetus sebenar di balik angka 2012 & kenapa. Dalam buku ini memberi gambaran apa, siapa & kenapa 2012.

KEINDAHAN DALAM BUKU BELIAU

Gambar dan grafik warna yang mengujakan. Jika anda takjub dengan cerita-cerita aneh 2012 yang pernah anda dengar – tunggu! Baca dan lihat dulu buku ini. Ia diselangi dengan gambran indah galaksi dan cakrasuria bersama ayat al-Quran tentang penciptaan langit. Tauhid anda akan terusik bila membaca dan menatapi grafik ini.

KEJUTAN DALAM BUKU BELIAU

Tahukah anda siapa, bagaimana & di mana IMAM MAHDI akan muncul. Di hujung buku ini beliau abadikan pencarian beliau tentang insan aneh yang disebut-sebut akan muncul sebelum Dajjal. Ada maklumat yang belum pernah anda ketahui akan terjumpa di antara helaian ini.


SINOPSIS 

2012 adalah cerita lama yang diberikan nafas baru,versi hangat dan hebat.2012 adalah igauan ciptaan barat.Satu produk yang mahu dipasarkan pada kita penduduk dunia.Mereka memaksa semua orang mempercayainya.Sungguhpun ramai dikalangan kita yang tidak mahu ambil peduli,memandang remeh igauan 2012 ini,namun percayalah ia sudah dirangka sedemikian,seperti badai yang akan menghempas dan menghancurkan tebing-tebing pantai.

Bagi kita umat islam,yakinlah dengan ni`mat Iman bahawa semuanya sudah berada dalam ilmu Allah.maka sandaran terbaik kita adalah Allah,Dia pemilik segala bencana yang akan menggegarkan gunung-gunung yang kukuh berdiri.Dia yang akan meruntuhkan langit bersama hiasan bintang yang ditaburNya-Dia adalah Pencipta dan Pemilik semua itu.Tidak ada keraguan tentangnya.Jika benar Dajjal merancang konspirasi bencana pada 2012,Allah sudah terlebih dahulu merancang dan perancangan Allah itulah yang terbaik.




Friday, 1 April 2011

Kanan Itu Berkat

“Jangan makan dengan tangan kiri, gunalah tangan kanan”, pesan ibu sewaktu kita kecil-kecil dulu.

Terdapat satu hadis, kisah Umar bin Abi Salamah yang menceritakan bahawa beliau ketika masih kanak-kanak pernah bersama Rasulullah s.a.w pada waktu makan malam. Lantas tangan beliau cuba mencapai makanan. Lalu sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya, “Wahai anak, sebutlah nama Allah (sebelum makan), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang dekat denganmu dahulu’’. (Mutaffaq ‘alaih)

Melalui hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa salah satu ajaran Islam yang ditekankan Rasulullah ialah makanlah dengan tangan kanan. Sebenarnya, tidak kiralah dalam apa jua tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan, kita disunatkan melakukannya menggunakan anggota kanan.

Setiap urusan yang mulia termasuklah makan minum, mengambil atau memberi sesuatu , maka disunatkan menggunakan anggota kanan. Sebaliknya jika ia merupakan kerja kotor atau bukan mulia seperti masuk tandas, beristinjak dan sebagainya, maka hendaklah menggunakan anggota kiri.

Kenapa dilarang menggunakan anggota kiri ?

1.Kiri adalah amalan dan kebiasan syaitan.
Syaitan adalah musuh ketat manusia. Apakah sepatutnya kita mencontohi amalan yang disukai oleh musuh kita. Syaitan tidak pernah putus asa menarik kita untuk menjejaki cara mereka. Nabi s.a.w menyarankan kita makan menggunakan tangan kanan supaya menyalahi amalan syaitan.

Firman Allah yang mafhumnya,
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan mungkar. ” (An-Nur 24:21)

2.Sifat Takkabur
Nabi melarang kita menggunakan anggota kiri kerana bertujuan mengajar kita agar jangan bersikap takabbur. Sudah tentu orang yang tidak mahu mengikut perintah agama ia adalah orang yang takkabur, sombong dan bongkak. Syaitan dihalau dari syurga pun kerana kesombongannya yang tidak mahu sujud kepada Adam atas perintah Allah s.w.t.

3. Kebersihan makanan
Sudah menjadi syariat, apabila kita hendak membasuh najis, maka hendaklah kita menggunakan tangan kiri. Jadi, penggunaan tangan kanan bertujuan mengekalkan kebersihan makanan yang kita makan. Dari segi naluri manusia normal, kita akan berasa jijik sekiranya makan dengan tangan yang sama yang digunakan untuk membasuh najis atau menyentuh benda-benda kotor.

4. Keberkatan mengikut sunah
Apa yang paling penting, menggunakan anggota kanan dalam melakukan kerja-kerja mulia adalah sunah Rasulullah s.a.w. Maka aspek berkat menjadi objektif utama dalam perlakuan yang dimulakan dengan anggota kanan.

p/s : Berhati-hatilah dalam setiap perlakuan kita. Moga sentiasa beroleh berkat. Bagaimana ? Dengan sentiasa mencontohi Rasulullah s.a.w melalui sunah.

Wallahua’lam.