Monday, 8 November 2010

Segigih Imam Syafie (episod kedua)

(Sambungan dari episod pertama)


Setelah agak tenang,ibu menyambung lagi ; ``Benar anakku,Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang. Engkau akan pergi berjuang di jalanNya. Hanya Dialah yang akan mencukupkan keperluanmu nanti. Allah sentiasa menolong hamba-hambaNya yang soleh dengan seribu macam cara yang tidak disedari.”

Begitulah ibu cuba pula menyejukkan hatiku. Ibuku sememangnya seorang yang teguh azam dan kuat jiwanya. Dalam soal menuntut ilmu serta apa jua usaha demi kepentingan islam,sentiasa diutamakannya. Dalam keadaanku tenggelam dalam perasaan terharu,ibu meletakkan satu bungkusan dihadapanku. Aku merasa kehairanan dan ingin benar mengetahui apakah isi bungkusan itu.

Sambil mengesat air matanya ibu berkata; ``Anakku usahlah bimbangkan ibu dirumah. InsyaAllah Tuhan akan memelihara hambaNya yang lemah. Tidak ada yang mampu ibu bekalkan, melainkan dua helai jubah dalam bungkusan ini. Ibu akan sentiasa berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar engkau sentiasa dalam perlindunganNya”.

Setelah itu,ibu terus menadah tangan berdoa ; ``Ya Allah Tuhan sekelian Alam ! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan menuju redhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut ilmu peninggalan pesuruhMu. Oleh itu aku memohon kepadaMu ya Allah agar Engkau permudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya serta panjangkan umurnya agar dapat ku melihatnya pulang dengan dada penuh berisi ilmu yang bermanfaat. Amin !”.

Selesai saja berdoa, ibu terus memelukku dengan penuh kasih sayang sambil mencium dahiku. Kemudian ibu melepaskanku sambil berkata ; ``Pergilah anakku, Allah bersamamu. InsyaAllah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan di kemudian hari kelak. Pergilah sekarang. Ingatlah Allah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan”.

Allah saja yang tahu bertapa hebatnya akan ombak perasaanku ketika hendak melangkah meninggalkan ibuku. Ibu yang sangat kukasihi. Manusia yang paling kusayangi di dunia ini. Dialah pelita hidupku yang tidak kunjung padam. Bagaimanakah dapat ku balas segala pengorbanannya. Hanya kepada Allah aku memohon kesejahteraan dan kebahagiaan untuknya. Aku cuba teguhkan hati dan perasaanku agar kesedihanku tidak menyebabkan linangan air mata membasahi pipi. Aku segera mencium tangan ibu untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Sambil melambai tangan aku pun melangkah meninggalkan perkarangan rumah tercinta. Sesekali aku menoleh ke belakang untuk membalas lambaian tangan ibu. Ibu masih tercegat di perkarangan rumah sambil memerhatikanku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi.

Aku meninggalkan kota Makkah dengan tidak membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan utamaku hanyalah iman yang teguh dan hati yang penuh tawakal kepada Allah berserta restu ibu. Aku telah menyerahkan diriku kepada Allah Rabbul Alamin… (H.Luqman Hakim)

(Petikan dari buku `ANAK-ANAKKU BANGUNLAH` karangan ummu anas)

                                                                picture by ipij teknologi


Kita lihat kisah Imam Syafie di atas,bagaimana tabahnya seorang ibu yang serba kekurangan dari segi harta,tetapi Allah kurniakannya jiwa seorang ibu yang sangat penyayang,mengharapkan sepenuh pertolongan Allah,bukan hanya untuk dirinya sendiri,malah untuk anaknya,dan umat islam keseluruhannya.Si ibu hanya mampu memberikan apa yang terbaik mampu diberikannya,manakala si anak menerimanya dengan sepenuh hati,dan selebihnya diserahkan kepada kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t.Contohilah sifat ini,dan tanamkanlah dalam jiwa kita bahawa sebaik-baik tempat untuk bergantung adalah kepada Allah jua.

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. Surah Al Talaq : 3

Sahabat-sahabat sekalian,marilah kita renungkan,sejauh mana kita meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada Allah di dalam kehidupan seharian kita?Kita hanya lah hamba Allah yang serba kekurangan,tidak berdaya,bahkan untuk menggerakkan jari ini pun,semuanya dengan izin dan kudrat Allah taala.Mengapa harus kita berasa bongkak dan menyombong diri dengan apa yang kita miliki?Sedangkan semua nikmat Tuhan ini bila-bila masa sahaja boleh ditarik semula tanpa dipinta,dan tanpa kita sedari.Semuanya adalah urusanNya dan kita hanya mampu berdoa dan berharap kepadaNya agar kita mampu menggunakan nikmat Tuhan ini pada jalan yang diredhaiNya.

Semoga diri kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang mengkufuri nikmat-nikmatNya,dan moga diri kita sentiasa bermuhasabah untuk bermujahadah untuk terus istiqamah di jalan yang benar...amiin,insyaAllah..


Sunday, 7 November 2010

Hilangnya Istiqamah Dalam Kehidupan

Istiqamah ertinya teguh HATI, tetap pendirian. Istiqamah mengandungi erti kemantapan, namun tidak bererti tidak bergerak untuk maju. Dalam kehidupan zaman moden ini, kita harus bergerak maju, namun tetap pada dasar pertama tanpa goyang hasil dari insan yang memiliki jiwa dan pengetahuan keIslaman yang mendalam dan menjalani nilai2 keIslaman tersebut.

Namun telah terjadinya perubahan nilai istiqamah dalam diri masyarakat maju yang lebih memperturutkan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri tanpa memperhitungkan nilai2 kebenaran dalam ajaran Islam..yang banyak terjadi pada masa kini ISLAM HANYA PADA NAMA DAN KETURUNAN.

Jiwa yang kosong lebih banyak dari mereka yagn tidak teguh pendirian dan tidak memiliki istiqamah. Keresahan dan kebingungan lebih banyak melanda masyarakat yang mulai jauh dari nilai2 agama lantaran cuba mencampurkan kesucian dan kebenaran itu dengan debu kemaksiatan.

Istiqamah berkaitan dengan kemampuan kita dalam berjuang untuk menghadapai ujian dan penderitaan..kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar cubaan yang harus dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderitaan itu, jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah.

Namun sebaliknya bagi mereka yang tidak memiliki iman yang kuat, yang mudah terpengaruh dengan lingkungan, mereka akan merasa lemah dan terus tumbang apabila cubaan atau bencana datang dari ALLAH. Mereka mengeluh, menyalahkan orang lain bahkan menyalahkan ALLAH. Keimanan seseorang itu harus dibuktikan dengan cubaan untuk melihat sejauh mana seseorang itu mampu mempertahankan nilai kesucian iman yang ia miliki.

Bersama-samalah kita menjaga HATI agar tetap kepada jalan NYA.. Amiin..InsyaAllah.


Wallahua’lam.