Sunday, 17 July 2011

Tempayan yang Retak

Bismillah.

Pada zaman dahulu, tinggal seorang yang menyara hidupnya dengan berkhidmat kepada sebuah keluarga bangsawan.

Dia melakukan segala kerja di rumah, daripada membersihkan halaman, memandu kereta kuda, menjaga keselamatan keluarga tersebut, termasuklah juga mengangkat air dari sungai berdekatan. Isterinya pula mengemas rumah dan kerja-kerja dapur.

Setiap hari, lelaki tersebut akan berulak-alik ke sungai mengambil air bagi mengisi kolah di dalam rumah dengan mengandar dua buah tempayan.

Malangnya salah daripada tempayan itu sudah retak. Kesannya, air yang diangkut akan berkurang kepada hampir separuh tempayan. Oleh yang demikian lelaki itu hanya mampu mengangkut air sebanyak satu setengah tempayan sahaja.

Demikianlah berterusan selama setahun lebih.

Suatu hari, tempayan yang retak itu berasa sangat sedih. Diadukan rasa hatinya itu kepada lelaki itu.

“Maafkan saya kerana selama setahun lebih ini, saya tidak mampu menjalankan peranan dengan baik. Saya rasa sedih sangat” Kata tempayan dengan penuh kesal.

“Kenapa kamu cakap macam itu? Kenapa kamu sedih ? ” Tanya lelaki itu.

“Aku sedih sebab aku hanya mampu mengangkut separuh sahaja air disebabkan fizikal aku yang tidak sempurna ini.”

“Kamu jangan sedih wahai tempayan. Dalam perjalanan balik nanti, cuba kamu perhatikan disebelah kanan jalan.”

Lelaki itu mengangkut air seperti biasa dari sungai menuju rumah tuannya.

Namun tempayan itu tetap sedih atas kekurangan dirinya dan ketidakmampuannya memberikan khidmat terbaik kepada tuannya.

“Kamu lihat di sebelah kanan jalan, bunga-bunga segar dan indah mekar di sepanjang jalan? ” soal lelaki tersebut.

“Ya, aku nampak. Tapi keindahan bunga-bunga itu tidak mampu mengurangkan rasa sedih di hatiku”, jawab tempayan.

“Kamu tahu wahai tempayan. Sejak aku tahu kamu telah retak sedikit, aku mula menanam pokok-pokok bunga ini. Kamu tahu siapa yang menyiramnya setiap hari?”

“Tentulah kamu.”

“Tidak, kamulah yang menyiramnya. Air yang meleleh keluar itulah yang menyiram bunga-bunga itu selama ini. Kemudian aku akan petik bunga-bunga ini dan berikan kepada isteriku untuk dihias di rumah tuan kita. Walaupun kamu sebuah tempayan yang retak, tetapi kamu tetap ada sumbangan.”

Barulah tempayan yang retak itu berasa ceria kembali dan tidak gundah lagi walaupun ianya hanya sebuah tempayan yang retak.

Tempayan retak itu analogi diri kita. HambaNya yang lemah.

Setiap manusia tidak sempurna dan ada kelemahan masing-masing. Namun Allah tidak menciptakan kekurangan atau kecacatan itu dengan sia-sia. Pasti ada kelebihan dari sudut yang lain dan pasti masih mampu memberi manfaat kepada ummah dengan caranya tersendiri.

Dan kita semua saling melengkapi antara satu sama lain.. InsyaAllah. =)

Wallahua’lam.

Sunday, 26 June 2011

KEINSAFAN DIRI - FURSAN


DISAAT YANG SEPI INI

KU DUDUK SEORANG DIRI

MEMOHON KEAMPUNAN DARI ILAHI


BAK LAUTAN BERGELOMBANG

SIANG MALAM PAGI JUGA PETANG

MENGHARAP KETENANGAN

DARI TUHAN YANG ESA


BETAPA RIMBUNNYA DOSAKU

SEMUA TERLAKAR DILEMBAH USIAKU

SALAH DAN SILAP DIMASA LALU

KINI KUSESALI


KU TIDAK LAYAK KE SYURGAMU

NAMUN TAK SANGGUP KE NERAKAMU

KU TUNDUK SUJUD MERENDAH DIRI

KEMBALI PADAMU


KU TETAP SETIA

PADAMU OH TUHANKU

AKAN KU PATUHI SEGALA

SURUHANMU

AKAN KU JAUHI

SEGALA LARANGANMU


ITULAH TANDA CINTA

CINTA ILAHI

Saturday, 4 June 2011

Menuju Hari Yang Lebih Bermakna

Bismillah.

Alhamdulillah masih diberi kesempatan bertemu Rejab. Moga-moga kita semua tergolong dalam golongan hambaNya yang bersyukur. InsyaAllah.

Seperti biasa, matahari terbit di waktu pagi lalu terbenam di senja hari, dan sehari pun berlalu, namun ada pertanyaan baru yang patut untuk kita renungi, "Apa yang kita kerjakan untuk mengisi hari itu?" Telah berapa banyak hari yang berlalu, telah berapa banyak umur telah kita lepasi, namun sedikit diantara kita yang menghitung diri, menjinakkan nafsu dengan muhasabah. Bahkan kebanyakan manusia membiarkan hari-harinya berlalu, sedangkan dia tenggelam di dalam lautan kelalaian dan gelombang penuh angan-angan. Ketika fajar menyingsing, ramai manusia yang menyambut hari mereka dengan niat yang tidak lurus. Setelah seharian dilalui, ketika malam menjelang, mereka kembali menuju tilam empok mereka dengan niat yang tiada berbeza pula. Teringat akan sebuah ungkapan dimana seorang bijak pandai ditanya,

" Dengan niat apakah seseorang bangun dari tempat tidurnya? "

Maka dia pun menjawab, "Jangan kau tanya tentang bangunnya dulu, sehingga diketahui bagaimana dia itu tidur. Barangsiapa yang tidak tahu bagaimana dia tidur, maka tidak tahu bagaimana dia bangun. "

Wahai saudaraku, perhatikan matahari yang terbit dan tenggelam. Sudahkah kau renungkan harimu yang kau lalui? Tanyakan! Apa yang sudah kupersembahkan untuk kebaikan, apakah yang kuperbuat ini untuk menyambut hari-hariku? Amat ramai manusia yang tidak memiliki perhatian terhadap berlalunya waktu, padahal nafasmu wahai anak Adam, adalah sesuatu yang dihitung dan tertulis.

Firman Allah yang mafhumnya,

"Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun."

(Al-Kahfi : 49)

Dan Firman Allah yang mafhumnya,

"Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. "

(Al-Infitaar : 10 – 12)

Nafas-nafas terhitung, amal-amal tertulis! Andaikan orang-orang yang lalai mahu memikirkan ini semua, tentu mereka akan berhati-hati terhadap diri mereka dan akan manahan diri dari jalan yang menyimpang. Namun amat sedikit manusia yang mendapat taufik, dan amat sedikit di antara mereka yang ingin mengetahui jalan yang lurus.

Pintu kebaikan amatlah banyak tidak terbilang. Apa yang tersebut di atas hanya sebagai peringatan buat diriku dan kalian. Orang yang menjadikan hari-harinya penuh dengan kebahagiaan, kebaikan dan ketaatan, maka dialah orang yang telah mendapatkan taufik.

Wallahua'lam.