Friday 1 April 2011

Kanan Itu Berkat

“Jangan makan dengan tangan kiri, gunalah tangan kanan”, pesan ibu sewaktu kita kecil-kecil dulu.

Terdapat satu hadis, kisah Umar bin Abi Salamah yang menceritakan bahawa beliau ketika masih kanak-kanak pernah bersama Rasulullah s.a.w pada waktu makan malam. Lantas tangan beliau cuba mencapai makanan. Lalu sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya, “Wahai anak, sebutlah nama Allah (sebelum makan), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang dekat denganmu dahulu’’. (Mutaffaq ‘alaih)

Melalui hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa salah satu ajaran Islam yang ditekankan Rasulullah ialah makanlah dengan tangan kanan. Sebenarnya, tidak kiralah dalam apa jua tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan, kita disunatkan melakukannya menggunakan anggota kanan.

Setiap urusan yang mulia termasuklah makan minum, mengambil atau memberi sesuatu , maka disunatkan menggunakan anggota kanan. Sebaliknya jika ia merupakan kerja kotor atau bukan mulia seperti masuk tandas, beristinjak dan sebagainya, maka hendaklah menggunakan anggota kiri.

Kenapa dilarang menggunakan anggota kiri ?

1.Kiri adalah amalan dan kebiasan syaitan.
Syaitan adalah musuh ketat manusia. Apakah sepatutnya kita mencontohi amalan yang disukai oleh musuh kita. Syaitan tidak pernah putus asa menarik kita untuk menjejaki cara mereka. Nabi s.a.w menyarankan kita makan menggunakan tangan kanan supaya menyalahi amalan syaitan.

Firman Allah yang mafhumnya,
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan mungkar. ” (An-Nur 24:21)

2.Sifat Takkabur
Nabi melarang kita menggunakan anggota kiri kerana bertujuan mengajar kita agar jangan bersikap takabbur. Sudah tentu orang yang tidak mahu mengikut perintah agama ia adalah orang yang takkabur, sombong dan bongkak. Syaitan dihalau dari syurga pun kerana kesombongannya yang tidak mahu sujud kepada Adam atas perintah Allah s.w.t.

3. Kebersihan makanan
Sudah menjadi syariat, apabila kita hendak membasuh najis, maka hendaklah kita menggunakan tangan kiri. Jadi, penggunaan tangan kanan bertujuan mengekalkan kebersihan makanan yang kita makan. Dari segi naluri manusia normal, kita akan berasa jijik sekiranya makan dengan tangan yang sama yang digunakan untuk membasuh najis atau menyentuh benda-benda kotor.

4. Keberkatan mengikut sunah
Apa yang paling penting, menggunakan anggota kanan dalam melakukan kerja-kerja mulia adalah sunah Rasulullah s.a.w. Maka aspek berkat menjadi objektif utama dalam perlakuan yang dimulakan dengan anggota kanan.

p/s : Berhati-hatilah dalam setiap perlakuan kita. Moga sentiasa beroleh berkat. Bagaimana ? Dengan sentiasa mencontohi Rasulullah s.a.w melalui sunah.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Orang suka memberi komen adalah orang yang sentiasa berfikir. Jom jadi golongan itu. ^^