Thursday 4 November 2010

Segigih Imam Syafie (episod pertama)

 ``Semenjak kecil lagi aku mempunyai minat yang mendalam untuk menuntut ilmu.Bahkan banyak pengetahuan telah ku perolehi sewaktu kecilku.Aku belajar al-Quran dan Hadith Rasulullah dengan cara menghafal.Cintaku kepada ilmu begitu berkobar-kobar bagaikan dian yang menyala tanpa hentinya.Setiap ada peluang untuk mendalami ilmu tidak pernah aku lepaskan.Bila sahaja aku mendengar ada ulama` atau cerdik pandai,aku merasa tidak sabar untuk menemui dan menimba ilmu dari mereka.

Suatu hari terlintas di hatiku untuk mencari ilmu di negeri orang.Lama benar aku memikirkan perkara itu bersendirian.Akhirnya aku memberanikan diri untuk meminta izin dari ibuku.Aku menjangkakan tidak begitu mudah ibu memperkenankan permintaanku.Ini kerana ibu sangat menyanyangiku serta usiaku masih muda,sekitar 14 tahun.

Memang benar sangkaanku.Ibu agak berat untuk menyatakan persetujuannya.Memandangkan ibu sudah tua,dia khuatir ditinggalkan sendirian.Air mata ibu terus mengalir membasahi pipinya.

``Maafkan saya ibu,saya sedikit pun tidak berniat membuat ibu sedih.Saya akan batalkan niat saya itu dan berada di samping ibu untuk menguruskan keperluan ibu.Memadai saya menuntut ilmu di tanah suci Makkah ini sahaja``,aku cuba menenangkan perasaan ibu.

``Tidak anakku,janganlah engkau salah faham melihat air mata ibu yang berlinang ini,ibu tidak berniat menghalang keinginanmu menuntut ilmu.Sejak engkau lahir,ibu telah bercita-cita agar dirimu menjadi seorang yang mencintai ilmu.Ibu sentiasa mendoakan engkau menjadi mukmin yang bertaqwa lagi alim dalam ajaran islam.Moga engkau menjadi sumber rujukan ilmu islam serta memimpin manusia ke jalan kebenaran``,begitulah tingginya harapan ibu.

Sambil mengesat air mata yang berlinang di kedua-dua belah pipinya,ibu terus menyambung;`` Anakku,apa yang ibu khuatir sebenarnya ibu tidak mampu mengadakan bekalan makanan mahupun wang untuk perjalanan mu menuntut ilmu.Engkau tentu maklum keadaan hidup kita yang serba kekurangan harta.Inilah yang membuat ibu sedih``.

Aku cuba menenangkan ibu;``Sabarlah ibu,InsyaAllah tuhan akan menolong kita.Ibu usah susah hati ,saya sedia bersabar menanggung sedikit kesusahan``…bersambung…

(Petikan dari buku `ANAK-ANAKKU BANGUNLAH` karangan ummu anas)


Begitulah sahabat sekalian,bagaimana seorang ulama` yang dihormati dilatih dan dididik oleh Allah sejak kecil lagi dalam membentuk keperibadian seorang muslim contoh.Sifat cintakan ilmu,tidak mudah mengalah dengan ujian Allah,dan juga sifat kasih sayang antara seorang ibu dan anak yang ditonjolkan dalam penceritaan kali ini sepatutnya kita hayati dengan sepenuh hati,agar seboleh mungkin kita dapat mengaplikasikan di dalam diri kita.Allah langsung tidak memandang harta kita,apatah lagi pangkat dan darjat,tetapi apa yang menjadi dambaanNya adalah usaha dan pengharapan sepenuhnya oleh hamba-hambaNya dalam melaksanakan perintahNya.
Sentiasalah bermujahadah agar sentiasa menjadi yang lebih baik.Kita semua sememangnya sedang ditarbiyyah oleh Allah,sama ada kita dapat mengutip sebanyak mungkin hikmah dan ilmu dalam mengharap keredhaanNya, ataupun kita kembali kepadaNya dengan tanpa membawa apa-apa bekalan untuk berhadapan dengan Allah kelak….
Peringatan buat diri dan perkongsian buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian..

No comments:

Post a Comment

Orang suka memberi komen adalah orang yang sentiasa berfikir. Jom jadi golongan itu. ^^